Khamis, 22 September 2011

Azad Sebak Ketika Akad Nikah



Suami kepada pelakon Eira Syazira yang juga merupakan pelakon filem Ngangkung, Azad Jazmin dilihat menitiskan airmata sejurus selesai upacara akad nikah mereka, Jumaat lalu. Azad atau nama sebenarnya, Azad Jazmin John Louis Bin Jeffri ketika ditemui memberitahu,beliau tidak dapat menahan sebak kerana terkenangkan arwah adiknya, Nizar Jeffri.


“Pernikahan ini satu yang dituntut oleh Islam. Alhamdulillah, kami dapat melaksanakan majlis ini setelah banyak dugaan yang dilalui. Hari ini merupakan detik saya menjadi suami dan pada saya, ini yang saya nantikan selama tiga tahun.

“Perkahwinan ini membuat saya gembira. Namun, dalam pada masa yang sama saya sedih kerana terkenangkan arwah adik saya yang tidak ada bersama pada hari bahagia saya,” ujar Azad ketika ditemui di kediaman pengantin perempuan, di Putrajaya.

Eira yang duduk di sebelah Azad turut menambah, “Masa kenal Azad, Eira memang rapat dengan arwah. Eira masih ingat lagi arwah beritahu, dia nak sangat tengok kami berdua berkahwin. Harap dengan perkahwinan ini, arwah akan gembira walaupun dia tidak ada di sini lagi.”





Adik Azad, Nizar atau lebih mesra dengan panggilan Boboy meninggal dunia akibat paru-paru berair pada tahun lepas, iaitu pada hari ketiga Aidiladha. Boboy pernah muncul dalam filem arahan Farid Kamil, Kongsi bergandingan bersama abangnya.


Berbicara mengenai perancangan selepas perkahwinan, Eira mengakui akan meneruskan kerjaya seninya seperti biasa. Pasangan ini juga memberitahu akan berangkat ke Bali dan Jakarta untuk berbulan madu. Ketika ditemui, pasangan yang muncul dengan lagu duet berjudul, “Lagu Jiwa” ini juga mengakui tidak merancang soal cahayamata dan menyerahkan segalanya kepada Allah.
“Kami akan berangkat ke Bali dan Jakarta pada bulan November ini. Kami ke sana bukan saja untuk berbulan madu tapi juga untuk bekerja. Ini kerana, bulan madu kami ditaja oleh sebuah syarikat bagi mempromosikan album baru saya.
“Selepas bergelar isteri, kerjaya saya masih berjalan seperti biasa. Azad memang terbuka dan dia tidak kisah jika Eira masih bekerja. Asalkan Eira tahu batas sebagai seorang isteri, sudah memadai. Eira juga dalam perancangan untuk membuka perniagaan butik tidak lama lagi. Mengenai anak, kami tidak merancang dan letakkan apa-apa had.”
Ditanya tentang apa keistimewaan Eira sehingga membuatkannya jatuh hati kepada pelakon Cinta Balqis itu, Azad memberitahu, “Dia perempuan Melayu terakhir di dunia ini. Saya suka cara sopan santun dia terhadap saya. Selain itu, banyak benda yang saya tertarik dengan Eira ini.”
Eira pula ketika ditanya soalan yang sama, secara ringkas menjawab, “He’s my everything.”
Pasangan ini akan diraikan pada majlis resepsi sebelah pihak perempuan pada 19 November 2011 di kediaman keluarga Eira manakala majlis sebelah lelaki pula di Pulau Pinang pada 26 November 2011.

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...