Jumaat, 23 September 2011

Duet Tomok & One Night Only



Sejak bergelar suami, rezeki Tomok cukup murah. Selepas dilaporkan bakal berlakon dalam filem arahan Bernard Chauly ('Pisau Cukur') berjudul 'Istanbul Aku Datang' bersama Lisa Surihani, Tomok kini diberi peluang mengembangkan kerjaya nyanyiannya ke peringkat antarabangsa.


Melalui kempen Buka Semangat, satu initisiatif di antara TV3 dan Coca Cola, pemenang musim ketiga One In A Million ini akan berduet dengan band indie Inggeris, One Night Only (ONO). Malah mereka akan tampil dengan sebuah klip video.

"Saya sangat teruja dengan peluang yang diberi sebab saya tak pernah terbayang saya akan berduet dengan artis antarabangsa," luah Tomok yang terikat kontrak selama enam bulan bermula 1 September untuk kempen ini.
"Saya melangkah ke satu tahap lagi dalam karier saya. Saya akan bekerja lebih keras dan memberi 100% dari segi nyanyian. Saya tidak akan menghampakan peminat dan rakyat Malaysia.

"Saya berharap kisah saya akan menjadikan anak-anak muda lebih bersemangat dalam menghadapi cabaran, supaya lebih maju di masa depan dalam apa jua bidang. Saya akan menjadi inspirasi buat semua," janjinya semalam selepas sidang media Semangat Inspirasi.

 
Majlis tersebut turut dihadiri Rommel Fuentebella, ketua integrasi pemasaran komunikasi dan pengaktifan, Coca Cola Far East Limited, Malaysia/Singapura/Brunei dan Lam Swee Kim, ketua pengurus besar integrasi pemasaran Media Prima Berhad.


Menyentuh tentang keserasian di antara dirinya dan ONO, kata Tomok, "Jika dilihat dari genre muzik, koloborasi kami 100% sesuai, tiada masalah."

"Tak sabar sebenarnya nak bekerjasama dengan mereka, berkongsi pengalaman dan idea. Saya percaya koloborasi ini akan menjadikan saya lebih kreatif," tambahnya yang akan berangkat ke England pada 19 Oktober depan selepas menjalani penggambaran 'Istanbul Aku Datang' di ibu negara Turki.

Mengikut perancangan, Tomok akan merakam versi Bahasa Malaysia lagu "Can You Feel It Tonight" pada minggu depan. Ia dijangka mula diputarkan awal bulan depan. Versi Inggerinya sudah pun kedengaran di corong-corong radio.

Tomok juga akan menjalani penggambaran klip video untuk lagu nukilan Shah Shamshiri itu di Kuala Lumpur (KL). Di England nanti, kerja rakaman dan syuting klip video disambung, kali ini merakamkan nyanyian Tomok bersama ONO.



Selama empat harinya di sana, Tomok dijadualkan membuat lintas langsung ke program 'Quickie' di 8TV dan mengadakan satu sesi 'live chat'.
 

 
Kemuncak kempen merupakan konsert besar-besaran yang bakal diadakan pada Disember ini, di empat lokasi secara serentak iaitu KL, Pulau Pinang, Sabah dan Johor. Konsert di KL akan menampilkan Tomok bersama ONO.

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...