Khamis, 22 September 2011

LPF, FINAS perlukan Panel Syariah- HANTU BONCENG

Foto


Pemuda PAS bidas karyawan filem tempatan persendakan agama Islam


SUNGGUH menyedihkan! Sangat dikesali dengan kelemahan ketara yang berlaku dalam Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPF) di bawah Kementerian Dalam Negeri [KDN] dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional [FINAS] di bawah Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) sehingga membenarkan filem yang berbaur penghinaan kepada Islam diterbitkan untuk tontonan umum.

Filem terbaru yang mengandungi unsur menghina Islam adalah Hantu Bonceng yang diarahkan oleh Ahmad Idham Ahmad Nazri dengan lakonan oleh Mohd Razizan Abd Razak atau Zizan RL.

Antara babak yang dilakonkan secara jelas menghina Rasulullah SAW apabila Zizan menyebut "Asyhadu anna Muhammadar Syaitan" yang membawa maksud "Aku naik saksi bahawa Muhammad itu Syaitan".



Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasrudin Hassan menegaskan kalimah syahadah bukan perkataan yang boleh menjadi bahan jenaka atau dipersenda sedemikian rupa justeru ia membawa kesan yang boleh menggugurkan syahadah walaupun sekadar lakonan.



Tambahan pula filem yang menjadi tontonan umum ini akan mencetus kekeliruan dan gambaran yang salah masyarakat terhadap Islam. Lebih berisiko apabila kelak ia turut merosakkan aqidah masyarakat awam.



“Dewan Pemuda PAS mempersoalkan, sekiranya benar wujud panel penapisan di dalam LPF mengenai filem yang bakal ditayangkan untuk tontonan umum, mengapa masih wujud babak yang menimbulkan kontroversi ini? Apa yang ditapis selama ini? Penapis apa yang mereka pakai sehingga masih banyak adegan yang menyakitkan mata dan mengganggu sensitiviti masyarakat, lolos menjadi paparan umum melalui filem yang telah diluluskan.

Lebih malang, pihak berkuasa agama seperti kaku dan kelu tidak tahu berbuat apa-apa meskipun berdepan dengan isu penghinaan terhadap Islam. Sedih sungguh kami dibuatnya.



Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) seperti tiada kuasa dan tiada apa yang boleh dilakukan malah untuk menerima memorandum pun tidak berkeupayaan apabila tercetus isu penghinaan terhadap Islam dan syariatnya oleh Mak Cik Hajjah Sitt Al Wuzara,” katanya dalam satu kenyataan yang dikirimkan menerusi emel kepada Hip.



Lambakan filem tahyul dan karut menerusi tontonan umum di kaca televisyen sama ada menerusi saluran RTM ataupun TV swasta seperti Astro bermaharajalela tanpa sebarang tindakan berkesan oleh pihak berkuasa agama.



Dewan Pemuda PAS sangat khuatir sekiranya tidak ada satu garis panduan yang berlandaskan Syariat Islam menjadi rujukan kepada LPF dan FINAS, filem yang lebih ‘luar biasa’ akan dihasilkan dan mungkin diluluskan kerana keuntungan yang bakal diperolehi oleh pihak tertentu tanpa menimbang tara impak yang akan berlaku.



Justeru, FINAS mahupun LPF diminta untuk mewujudkan panel syariah yang mempunyai kuasa sebagai lembaga penapisan yang tertinggi terutama dalam menapis cerita atau filem yang mempunyai kaitan dengan agama Islam.



“Kepada mereka yang terbabit secara langsung di dalam industri ini seperti penerbit, pelakon dan penyiar diminta untuk merujuk kepada alim ulama seperti mufti atau pihak berkuasa Agama seperti JAKIM terlebih dahulu sebelum menerbitkan sesebuah filem. Jangan apabila sudah wujudnya kontroversi baru mencari ulama untuk melepaskan diri.



“Kami juga menyeru kepada artis untuk meneliti dan membuat kajian terlebih dahulu mengenai skrip yang bakal dilakonkan oleh mereka. Sekiranya skrip tersebut mengandungi unsur yang dirasakan bertentangan dengan fitrah dan juga berpotensi untuk mencemarkan kemuliaan Islam maka bertanyalah kepada ulama.



“Perkara ini juga mesti dilakukan oleh penerbit, pengarah mahupun pelakon agar tidak mewujudkan suasana kontroversi seperti ini. Semoga industri filem negara terus maju dan berkembang ke serata dunia dengan membawa imej negara yang baik dan gemilang tanpa perlu mencetus elemen lucah, persendaan terhadap agama, tahyul dan perlecehan akhlak semata - mata untuk dijadikan tangkal pelaris filem sahaja,” tegas Nasrudin lagi.





Ahmad Idham pertahan Hantu Bonceng


PENERBIT dan pengarah, Ahmad Idham mempertikaikan kenyataan Ketua Pemuda PAS, Nasrudin Hassan yang mendakwa filem Hantu Bonceng mempersendakan dan menghina Nabi Muhamad S.A.W dengan dialog dari pelakon utamanya, Zizan yang membawa maksud ‘Aku Naik Saksi bahawa Muhamad itu Syaitan’.



Bahkan dia turut mendakwa kenyataan itu sebagai propaganda politik, sekali gus menjadi sebab untuk menghentam kerajaan.



“Kenyataan itu disebarkan menerusi blog dan saya tidak tahu akan kesahihan kenyataan itu, sama ada benar atau tidak, atau ada orang lain sengaja untuk memperbesarkan isu itu dan mengaibkan saya secara terbuka.



“Saya berkata begitu kerana yakin orang yang berkredibiliti tinggi seperti dia (Nasrudin) itu tidak akan mengeluarkan kata-kata kesat. Takkan dia tokoh pemimpin yang kita cari, menghukum orang tanpa dibicarakan dan mengaibkan orang secara terbuka. Mungkin ada pihak ketiga sengaja yang ingin menjatuhkan saya dan dia juga.



“Jika ia benar sekalipun, kenapa dia sendiri tidak tampil dan bawa berbincang secara profesional, mengeluarkan kenyataan berserta kepala surat yang tertera logo parti dan ditandatangani sendiri Mursyidulnya dan menegur adegan yang diperkatakan menghina Rasulullah sehingga menaikkan amarah seluruh umat Islam,” katanya yang ditemui pada majlis penyerahan surat tawaran pengajian Doktor Falsafah dalam bidang industri perfileman bersama Universiti Utara Malaysia (UUM) baru-baru ini.



Menurut Idham yang agak emosional dengan kritikan itu, dia boleh memberikan reaksi dan menjawab berhubung isu itu, namun mengajak mereka untuk menonton keseluruhan cerita, mengkaji dan memahami industri perfileman dengan lebih dekat sebelum bertindak tanpa sebab.



“Negara kita ada undang-undang dan filem ini mendapat penapisan sehingga dua kali daripada LPF, saya tidak kata ia sebagai terlepas pandang dan sekiranya benar ia menyalahi, saya sedia memohon maaf.



“Saya punya anggapan mereka yang bercakap ini adalah dari kalangan yang tidak menonton filem, mereka hanya melihat petikan dari satu babak saja dan tidak menonton keseluruhan filem itu.



“Di dalam filem biasanya kita memaparkan sesuatu yang salah dan akan dibetulkan di akhirnya, itulah cerita. Tidak ada filem yang mengajar penonton membuat perkara yang negatif. Jika benar dari minggu pertama filem ini keluar isu ini sudah timbul dan mungkin sudah selesai hari ini. Kenapa hari ini selepas filem sudah tidak ditayangkan, baru isu ini timbul,” katanya.

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...